✆ WhatsApp 013 277 5539

Kuala Lumpur: PENERAJU produk kelengkapan rumah, Cuckoo International (M) Sdn Bhd (Cuckoo) dengan kerjasama LSK Napure Sdn Bhd (LSK Napure) menyasarkan penjualan 80,000 tilam dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif, Cuckoo International, KC Hoe berkata, dengan pengalaman dan kepakaran daripada LSK, tilam Cuckoo yang dijadualkan dilancarkan pada akhir suku pertama 2021 akan menjadi antara tilam terbaik dalam industri.

Katanya, produk tilam yang ditawarkan kepada pelanggan itu sangat istimewa kerana setiap pembelian, pelanggan bakal mendapat servis pembersihan untuk tempoh tiga tahun.

“Dalam tempoh itu, pelanggan yang membeli tilam kami akan mendapat servis pembersihan setiap empat bulan.

“Itu adalah keistimewaan yang ditawarkan. Ini lebih kepada jaminan pembelian, sebab biasanya pelanggan beli tilam, tiada jaminan pembelian seperti ini.

“Ini antara kelainan untuk menarik pelanggan di mana kami menawarkan dua saiz tilam iaitu king dan queen selain servis pembersihan tilam,” katanya selepas memeterai Memorandom Perjanjian Mencipta Produk Bersama antara Cuckoo dan LSK di ibu pejabat LSK di sini.

Hadir sama, Pengarah Urusan LSK, Datuk Eric Lee.

KC Hoe berkata, melalui memorandum perjanjian berkenaan, kedua-dua pihak akan menyumbangkan sumber, pengalaman dan kepakaran masing-masing bagi mencipta tilam berkualiti tinggi dan berinovatif untuk rakyat Malaysia.

“Selepas memberikan perkhidmatan kepada lebih empat juta pengguna isi rumah melalui pelbagai produk dan perkhidmatan, kami menggorak langkah dan mempergiat usaha membentuk kediaman yang lebih sihat dengan kolaborasi bersama LSK Napure.

“Kolaborasi dinamik dan strategik ini akan membuahkan hasil dengan penciptaan tilam yang berinovatif pada masa akan datang.

“Kami percaya ini satu pelaburan yang sesuai dengan usaha kami bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia,” katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 7:00 AM